[VIDEO] PN tubuh pasukan perundangan, teliti tindakan RoS

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) menubuhkan pasukan perundangan bagi meneliti tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu.

**media[3659339]**

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasukan berkenaan sedang meneliti tindakan yang sesuai dari sudut perundangan termasuk kemungkinan memohon injunksi atau pengisytiharan bahawa keputusan berkenaan tidak sah.

Menurutnya, pihak peguam PN akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan bentuk tindakan yang sesuai terhadap keputusan RoS.

“Esok kami ada mesyuarat dengan peguam-peguam di Kuala Lumpur.

“Kami akan putuskan tindakan yang sesuai sama ada injunksi ataupun pengisytiharan terhadap keputusan RoS itu sah atau tidak,” katanya selepas merasmikan Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payung di Lembah Sireh di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, PN boleh memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang pelaksanaan perintah penggantungan yang dikeluarkan RoS khususnya jika tindakan itu menjejaskan penyertaan gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Permohonan itu boleh dibuat bersama tindakan semakan kehakiman bagi mencabar kesahan perintah penggantungan berkenaan.

Takiyuddin berkata, tindakan perundangan itu dibuat susulan keputusan RoS mengenakan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa Rabu lepas.

Beliau pada masa sama menjelaskan latar yang membawa kepada aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk isu mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Katanya, pada 15 Julai, Bersatu mengumumkan hasrat menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, manakala pada keesokan harinya PN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) serta pembahagian kerusi.

“Jadi mereka dah tak mahu dengan Perikatan Nasional, takkan kami nak panggil lagi, itu minta penjelasan dengan mereka,” katanya.

RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam mesyuarat berkenaan selain isu kedudukan keanggotaan Bersatu dalam PN.

Mengulas sama ada perkembangan itu bermakna hasrat Bersatu sudah tercapai, Takiyuddin tidak memberikan jawapan secara langsung, sebaliknya berkata perkara berkaitan kedudukan Bersatu dalam kerajaan negeri perlu dirujuk kepada kerajaan negeri masing-masing.

“Kena ingat bahawa Bersatu juga berada dalam kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Saya tak nak ulas panjang, itu kena tanya kerajaan negeri. Mereka berada dalam kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas,” katanya.